Monday, April 19, 2010

BERKOMUNIKASI DI-UDARA

Komunikasi frekuensi radio Oleh JULIA ISMAIL dan JUNHAIRI ALYASA rencana@kosmo.com.my Hobi ini memberi peluang kepada penggemarnya berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang.

"PAPA Romeo Golf Sierra anda di mana, saya bersama dengan Papa Romeo Golf Echo sekarang. Handle di sini, Julia, Encik Rosli apa khabar? "Papa Romeo Charlie Sierra, Papa Romeo Golf Sierra kembali. Kalau boleh panggil saya abang Rosli, saya sihat di sini Julia. Mungkin anda boleh ceritakan sedikit tentang diri anda."

Demikian perbualan ringkas penulis dengan salah seorang ahli Persatuan Peminat Komunikasi Radio Dua-Hala Selangor (Pradas) yang tinggal di daerah Seri Manjung, Perak dan penulis pula berada di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Walaupun perbualan penulis tidak mengikut tatacara sebenar pengendali radio amatur tetapi pengalaman yang diperoleh cukup menarik untuk menyelami dunia tersebut.


Lazimnya, jika kita melihat seseorang memegang walkie-talkie atau handy, kita mengandaikan pemiliknya adalah seorang penarik kereta, polis, pengawal keselamatan atau tonto. Hari ini, penggunaan walkie-talkie sebenarnya tidak saja terhad dalam kalangan pekerja agensi tertentu. Sebaliknya, ia menjadi salah satu hobi yang menjadi medium komunikasi dalam kalangan peminatnya.


Lesen

Minat yang mendalam ini telah mendorong golongan terbabit untuk menubuhkan persatuan radio amatur menggunakan frekuensi yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Bagi membolehkan seseorang itu mengendalikan peralatan tersebut dan berkomunikasi, mereka perlu mempunyai lesen Penguntukan Radas. Mereka juga perlu lulus ujian yang dilakukan oleh SKMM dua kali setahun. Ekoran peningkatan minat orang ramai untuk mendalami ilmu komunikasi yang betul dan melengkapkan diri untuk mengambil peperiksaan radio amatur, maka muncullah Pradas. Pradas ditubuhkan sebagai sebuah persatuan radio komersil menggunakan frekuensi radio komersil.

Hobi murah


Sehubungan itu, tiada sebarang peperiksaan diperlukan. Bagaimanapun, ahli perlu membayar sejumlah wang untuk tujuan menyelenggara repeater, membayar yuran tahunan frekuensi kepada SKMM dan aktiviti persatuan. Persatuan ini mempunyai lebih 1,000 orang ahli yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kaum. Ia turut menyediakan pelbagai aktiviti seperti bola cat, aktiviti pacuan empat roda, berbasikal, memancing dan berkhemah.



RADIO dua hala menjadi alat komunikasi yang efektif untuk berhubung.



Mungkin ramai yang menganggap ia adalah hobi yang mahal. Hakikatnya, anda hanya perlu membeli handy yang harganya kurang RM500 sebagai permulaan. "Sama macam harga telefon bimbit. Hobi ini sebenarnya hobi yang mampu milik terutamanya bagi orang muda. "Mereka ada pilihan, seperti telefon bimbit. Kepada mereka yang mampu, mereka boleh beli yang mahal tetapi untuk permulaan, ada yang murah dan yang terpakai," kata salah seorang ahli kelab itu, Ahmad Zaki Mohamed, 20. Komunikasi efektif

Menurut Ahmad Zaki, beliau meminati hobi ini cuma tidak tahu di mana mahu bermula sehinggalah diperkenalkan oleh seorang teman. "Melalui aktiviti radio ini saya bertemu dengan ramai kawan daripada pelbagai golongan dan taraf hidup. "Kami berkongsi pelbagai topik dalam jaluran dan persahabatan bukan sahaja terhad dalam frekuensi Pradas, malah kami juga bertemu di luar," katanya. Bagi Ashmawi Asraf Mohd. Arifen, 23, beliau mengambil masa yang agak lama sebelum mengambil keputusan menyertai kelab ini. Ashmawi mengetahuinya melalui kelab kereta yang disertainya sebelum ini. "Sebelum ini, saya melihat rakan-rakan di kelab kereta tersebut mempunyai radio dan handy. Dari situ, timbul minat tetapi saya ambil masa untuk meneliti dahulu terutama mengenai peralatan yang diperlukan. "Tujuan saya adalah untuk jaringan, kerana ia menghubungkan saya dengan pelbagai golongan masyarakat yang juga menyertai jaringan ini," katanya.

MUNGKIN ramai yang menganggap radio dua hala adalah hobi yang berkos tinggi.

Radio menjadi alat komunikasi yang paling efektif untuk menghubungkan pengguna dengan khalayak. Sebagai contoh, ia boleh menyebarkan apa-apa maklumat mengenai aktiviti kelab ataupun untuk sebarang hal kecemasan. Ini kerana bagi satu frekuensi, Pradas, semua ahlinya boleh mendengar. Menurut Ahmad Zaki, hobi ini memberi peluang kepada golongan muda mengenali pelbagai golongan masyarakat kerana ahli Pradas bukan terhad kepada golongan belia sahaja.

"Ahli Pradas terdiri daripada mereka yang bekerjaya, bahkan pelbagai golongan individu. Ada pemandu teksi, pesara, kakitangan awam, swasta, ahli perniagaan hinggalah kepada golongan VIP yang berpangkat Datuk. "Sehubungan ini, golongan belia boleh bertukar-tukar pendapat dan belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam pelbagai aspek dari aspek kerjaya sehinggalah peribadi," katanya. Radio komersil Pradas memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk berkomunikasi melalui radio walaupun frekuensinya terhad untuk sekitar Lembah Klang sahaja.

PENGENDALI radio dua hala perlu mempunyai lesen penguntukan radas.

Menurut Presiden Pradas, Mejar (B) Zakaria Utin, persatuan ini adalah satu-satunya persatuan yang mempunyai jaluran ataupun frekuensi radio komersil. "Terdapat 31 syarikat yang memohon frekuensi radio dan kebanyakannya dimiliki oleh syarikat yang memerlukan pekerja mereka berkomunikasi menggunakan radio seperti syarikat keselamatan. "Tujuan Pradas ditubuhkan adalah untuk membimbing mereka yang berminat dan tiada tempat untuk berkomunikasi kerana mereka terlebih dahulu perlu lulus peperiksaan sebelum boleh berkomunikasi tetapi di Pradas sebaliknya," kata Zakaria.

Selain melakukan pelbagai aktiviti luar, Pradas juga melakukan pelbagai kursus berkaitan radio seperti operasi pengendalian standard dan teknikal kepada ahli bagi membolehkan mereka lulus peperiksaan radio amatur. Jelas Zakaria, perbualan bagi radio komersil tidaklah terlalu ketat dan boleh berbicara sama seperti telefon biasa sahaja. Bagaimanapun, sebagai seorang pengendali radio mereka perlu berkomunikasi mengikut tatacara radio amatur sebelum boleh menggunakan frekuensi amatur. Pradas akan menguruskan Penguntukan Radas atau Apparatus Assigment (AA) yang dikeluarkan oleh SKMM bagi membolehkan ahlinya menggunakan frekuensi Pradas dengan mengenakan yuran sebanyak RM50 setahun. Walaupun ia nampak mudah, terdapat beberapa larangan yang perlu dipatuhi oleh setiap ahli. Antaranya ialah tidak boleh mengeluarkan sebarang isu yang menyentuh sensitiviti perkauman, keagamaan, lucah ataupun mengkritik kerajaan.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pradas, Ismail Yusof menjelaskan, penggunaan radio dilihat sangat penting kerana selain berkomunikasi ia sangat berguna ketika berlaku kecemasan. "Bayangkan telefon tidak dapat digunakan dan semua perhubungan terputus tetapi dengan adanya komunikasi seperti ini, mereka boleh meminta bantuan," cerita beliau. Antara penglibatan ahli-ahli Pradas dalam memberikan bantuan komunikasi ketika bencana ialah kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 7 Disember tahun lalu.

3 comments:

FTDX400 said...

Salam....ada rakan2 Ham bertanya kepada saya...
Apakah Radio dua hala ini sama dengan Radio Amatur? Kerana ada di antara mereka ini megatakan ianya "Pre Amateur Radio" tolong jelaskan apakah yang di maksudkan dgn "Pre Amateur Radio"......

9W2TS said...

Salam,
Terima kasih dapat berkongsi pengalaman di ruangan ini.
apa yg di fahamkan radio dua hala ini lebih di kenali dgn walkie-talkie,atau pun 1 to 1 berkomunikasi.
Radio amatur adalah mereka yg telah pun mempunyai lesen kelas B yg dikeluarkan oleh skmm, setelah lulus peperiksaan radio amatur.
Pre Amateur ia-lah mereka yg di dlm pembelajaran ke arah menjadi seorang radio operator atau pun lebih di kenali radio amatur. Terdapat banyak komersel club radio dua hala yg melatih mereka ke arah seorang radio amatur.
itu-lah sedikit maklumat dari saya, kalau ada rakan yg ingin menambahkan penerangan di persilakan.
terima kasih.

FTDX400 said...

Terima kasih atas penerangan saudara. Apa yang saya tahu ini berdasarkan daripada pembacaan dan juga bertanya dari org lama dalam ham radio yang telah berpuluh tahun dlm bidang ini kata mereka seseorg yg tiada memiliki Lesen Radio Amatur di Panggil SWL dan menurut kata mereka tidak ada istilah "Pre Amateur Radio" Pendapat mereka ini pula mengatakan hari ini ramai yang hendak jadi cikgu tapi mereka ini kekurangan ilmu dan tidak cukup pengalaman. Cara yg terbaik utk menjadi Radio Amatur adalah dengan pembacaan dan berguru dari mereka yang benar2 berpengalaman dan mulah dgn SWL (Short Wave Listening) Ada diantara org lama pula mengatakan kenapa ujudnya perkara begini ...kata mereka ini adalah kerana ramai diantara Radio Amatur pada hari ini tidak memahami apakah Definasi Sebenar Radio Amatur. Wallahualam...